Menyambut Bulan Ramadan, Bulan Penuh Keberkatan

Share on social media

Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa bagi umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, rahmat, dan keampunan dari Allah SWT. Ramadan bukan sahaja sekadar waktu untuk berpuasa, tetapi ia adalah kesempatan untuk memperbaiki diri, memperbanyak ibadah, dan meraih pahala yang berlipat ganda.

RAMADAN BULAN YANG DIBERKATI DAN DIMULIAKAN

Ramadan adalah bulan yang paling mulia jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain yang ada dalam kalendar hijri di sisi Islam. Ia adalah bulan di mana Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk hidup bagi umat manusia. Sebagai mana firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”


Begitu juga yang diriwayatkan di dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Riwayat Muslim)

 

Keberkatan bulan Ramadan terletak pada pelbagai aspek. Selain daripada kewajipan berpuasa dari fajar hingga senja, Ramadan juga membuka peluang kepada kita semua agar memperbanyakkan amal ibadah seperti solat, membaca Al-Quran, berdoa, dan bersedekah. Segala amalan yang dilakukan pada bulan ini akan mendatangkan ganjaran yang lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

MENJALANI IBADAH PUASA DENGAN PENUH KEIKHLASAN

Puasa di bulan Ramadan adalah satu bentuk ujian bagi umat Islam. Ia menguji ketahanan fizikal, mental, dan rohani seseorang. Namun, yang lebih penting adalah bagaimana kita menjalani puasa dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Puasa bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, akan tetapi ia juga menahan diri daripada perbuatan buruk seperti mencarut, mengumpat, dan membazir.


Dalam bulan Ramadan inilah masa yang terbaik untuk kita memperbanyakkan sedekah iaitu dengan memberi makan orang-orang berbuka puasa. Sebagai mana yang diriwayatkan oleh Zaid Ibn Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.” (Riwayat al-Tirmidzi)

 

Maka dapat kita ketahui bahawa banyak manfaatnya apabila kita menggandakan amalan mulia di dalam bulan Ramadan ini. Sesungguhnya tidak terkurang sedikit pun pahala bagi mereka yang memberi makan kepada orang yang berpuasa tersebut sama pahala seumpanya. Diharapkan dengan melakukan amalan soleh ini mampu mendidikan hati agar lebih mentaati kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan

MALAM LAILATULQADAR, MALAM PENUH KEBERKATAN

Salah satu keistimewaan Ramadan juga ialah adanya malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Pada malam ini, doa bagi hamba-hambaNya akan lebih dimakbulkan dan segala amalan yang dikerjakan akan digandakan pahalanya. 

Berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”. [al-Qadr, 1-3]

 

Oleh itu, umat Islam disarankan untuk memperbanyakkan ibadah pada malam-malam akhir Ramadan, terutama pada malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.

KESIMPULAN

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, rahmat, dan pengampunan. Ia adalah masa yang tepat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaiki akhlak, dan meningkatkan ibadah. Sebagai umat Islam, kita seharusnya menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran, serta memanfaatkan peluang ini untuk memperoleh sebanyak mungkin pahala yang berlipat ganda. Semoga Ramadan kali ini membawa kita kepada kebaikan yang lebih besar dan menjadikan kita hamba yang lebih taat kepada Allah SWT.

Apakah Perbezaan Antara Niat dan Lafaz Niat?

Niat ialah suatu ingatan atau lintasan yang hadir di dalam hati tidak kira ia sedetik mahupun lama. Lafaz Niat pula...

Kerja Sekali Tapi Dibayar Berlipat Kali Ganda?

Mahukah Anda Kerja Sekali Tapi Dibayar Berlipat Kali Ganda? Pasti ramai yang berminat apabila terbaca adanya tawaran kerja sekali tapi...

Tatacara Solat Sunat Witir

Setiap kali datang bulan Ramadan pasti ada di kalangan kita yang terlupa bagaimana cara untuk mengerjakan solat sunat witir. Maka...

Lafaz Niat Puasa Ramadan Sebulan dan Harian

Bulan Ramadan telah pun tiba, sebuah bulan yang penuh dengan keberkatan dibuka seluasnya pintu-pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Ramadan...

Menyambut Bulan Ramadan, Bulan Penuh Keberkatan

Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa bagi umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah bulan yang penuh dengan keberkatan,...

Bilakah Waktu Terbaik Untuk Beli Emas?

Aduhh.. Harga emas naik lagilah.. Tak sempat nak grab masa harga emas murah haritu.. Mesti ada dikalangan anda yang pernah mengalami...

Hide Preloader