Konsep maṣlaḥah dan mafsadah merupakan antara asas dalam kerangka usul al-fiqh kerana kedua-duanya menjadi antara rujukan para fuqaha dalam menyelesaikan permasalahan hukum, khususnya isu kontemporari yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Dari sudut bahasa, maṣlaḥah merangkumi setiap perkara yang mengandungi manfaat, sama ada dengan menarik dan menghasilkan kebaikan ataupun dengan menolak dan memelihara daripada kemudaratan. Manakala mafsadah pula ialah segala yang membawa kepada kerosakan yang perlu ditolak. Hubungan kedua-dua konsep ini bersifat beriringan, kerana menolak mafsadah itu sendiri merupakan sebahagian daripada usaha menghasilkan maṣlaḥah.
Kedudukan Imam al-Ghazālī sebagai pelopor kerangka maqāṣid al-sharīʿah atas dua sebab utama, iaitu pengolahannya yang sistematik dan terperinci dalam karya usulnya al-Mustaṣfā, serta penggunaan istilah dan klasifikasinya oleh fuqaha terkemudian. Al-Ghazālī meletakkan maṣlaḥah sebagai satu kaedah, bukan sumber mutlak yang berdiri sendiri selepas al-Quran, al-Sunnah, ijmāʿ dan qiyās, dan penilaian maṣlaḥah serta mafsadah hendaklah bersandarkan nas. Sumbangan al-Ghazālī juga dapat dilihat dalam mencadangkan beberapa kaedah tarjīḥ apabila berlaku pertembungan antara maṣlaḥah dan mafsadah.1
Salah satu bentuk maṣlaḥah yang banyak diperbincangkan ialah maṣlaḥah mursalah, iaitu kemaslahatan yang tidak disokong mahupun ditolak secara khusus oleh nas. Maṣlaḥah satu kaedah penggalian hukum (istinbāṭ) yang berasaskan aspek manfaat dan kebaikan kepada manusia, dengan syarat ia tidak bertentangan dengan norma syariah. Maṣlaḥah mursalah memainkan peranan penting sebagai asas pembinaan dan pembaharuan hukum Islam dalam menangani persoalan baharu yang lahir daripada perubahan zaman dan perkembangan teknologi.2
Walaupun begitu, hubungan antara maṣlaḥah dan nas menjadi titik perbincangan yang penting. Dalam penulisan kontemporari, menerusi penilaian terhadap penulisan Wahbah al-Zuḥaylī, menjelaskan kerangka maṣlaḥah menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jamāʿah dan menegaskan bahawa tiada percanggahan hakiki antara maṣlaḥah dan nas. Di dalamnya juga mengkritik sebahagian penulisan kontemporari yang keliru lalu mengenepikan atau menafsir semula nas semata-mata atas alasan mendahulukan maqāṣid, sedangkan nas sepatutnya dijadikan neraca (miʿyār) dalam membuat sesuatu keputusan hukum.3
Pandangan ini memperjelas bahawa maṣlaḥah yang muktabar mestilah selari dengan kehendak nas, bukan bertentangan dengannya. Persoalan yang lebih rumit timbul apabila maṣlaḥah dan mafsadah bertembung dalam satu keadaan, lalu memerlukan proses penimbangan (tarjīḥ). Dalam menganalisis sebuah fatwa kontemporari, mengaplikasikan konsep maṣlaḥah dan mafsadah dengan bersandarkan parameter (ḍawābiṭ) maṣlaḥah sebagaimana digariskan oleh al-Būṭī serta kaedah keutamaan menolak kerosakan. Penilaian sesuatu hukum boleh disandarkan kepada pertimbangan antara kebaikan yang hendak dicapai dan kemudaratan yang hendak dielakkan, sekali gus menunjukkan kepentingan kaedah darʾ al-mafāsid muqaddam ʿalā jalb al-maṣāliḥ (menolak kemudaratan didahulukan daripada menarik kemaslahatan) dalam istinbāṭ hukum semasa.4
Rujukan
[1] Akbar Sarif and Ridzwan Ahmad, “Konsep Maslahat dan Mafsadah menurut Imam al-Ghazali,” TSAQAFAH 13, no. 2 (2017): 353, https://doi.org/10.21111/tsaqafah.v13i2.1183.
[2] Adi Nur Rohman, “The Existence of Maslahah Mursalah as The Basis of Islamic Law Development in Indonesia,” KRTHA BHAYANGKARA 13, no. 2 (2019): 251–60, https://doi.org/10.31599/krtha.v13i2.9.
[3] Izal Mustafa Kamar, The Concept of Maṣlaḥah According to Wahbah al-Zuḥaylī (1932-2015): An Assessment, 18, no. 1 (2021).
[4] Hudzaifah Achmad et al., “Analysis on Fatwa of Majelis Permusyawaratan Ulama Aceh (MPU) on Against Prohibition of Pubg: A Legal View Based on Maslahah and Mafsadah,” Jurnal Ilmiah Islam Futura 20, no. 2 (2020): 181–95, https://doi.org/10.22373/jiif.v0i0.5788.
Konsep Maslaḥah dan Mafsadah dalam Usul Fiqh
Konsep maṣlaḥah dan mafsadah merupakan antara asas dalam kerangka usul al-fiqh kerana kedua-duanya menjadi antara rujukan para fuqaha dalam menyelesaikan...
Apa itu Gharar?
Menurut al-Mu‘jam al-Wasit, gharar bermaksud: “Bahaya dan mendedahkan diri kepada kebinasaan. Manakala jual beli gharar ialah jual beli sesuatu yang tidak...
Apakah Perbezaan Antara Niat dan Lafaz Niat?
Niat ialah suatu ingatan atau lintasan yang hadir di dalam hati tidak kira ia sedetik mahupun lama. Lafaz Niat pula...
Kerja Sekali Tapi Dibayar Berlipat Kali Ganda?
Mahukah Anda Kerja Sekali Tapi Dibayar Berlipat Kali Ganda? Pasti ramai yang berminat apabila terbaca adanya tawaran kerja sekali tapi...
Tatacara Solat Sunat Witir
Setiap kali datang bulan Ramadan pasti ada di kalangan kita yang terlupa bagaimana cara untuk mengerjakan solat sunat witir. Maka...
Lafaz Niat Puasa Ramadan Sebulan dan Harian
Bulan Ramadan telah pun tiba, sebuah bulan yang penuh dengan keberkatan dibuka seluasnya pintu-pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Ramadan...
