Menurut al-Mu‘jam al-Wasit, gharar bermaksud:
“Bahaya dan mendedahkan diri kepada kebinasaan. Manakala jual beli gharar ialah jual beli sesuatu yang tidak diketahui oleh kedua‑dua pihak yang berakad, atau sesuatu yang tidak dapat dipastikan penerimaannya, seperti menjual ikan di dalam air atau burung di udara, dan setiap bentuk gharar yang tidak dapat dipercayai (tidak terjamin)”.
Menurut ʿAbd al-Qādir Shaybah al-Ḥamad (1982) di dalam kitabnya Fiqh al-Islam menjelaskan maksud gharar ialah jual beli sesuatu yang mungkin ada atau mungkin tiada, serta segala yang tidak mampu diserahkan seperti ikan di dalam air, burung di udara, barang yang tidak wujud, barang yang tidak diketahui, hamba yang melarikan diri, dan seumpamanya yang pada dasarnya adalah penipuan dan ketidakjelasan.
Menurut Ibn Taymiyyah sepertimana dinyatakan di dalam Mawsūʿah al-Mafāhīm al-Islāmiyyah al-ʿĀmmah beliau menjelaskan bahawa:
“Gharar ialah sesuatu yang tidak mampu diserahkan, sama ada ia wujud ataupun tidak, seperti menjual unta yang melarikan diri. Ini kerana tuntutan jual beli ialah penyerahan barang, sedangkan penjual tidak mampu menyerahkannya. Pembeli pula membelinya atas dasar risiko dan perjudian. Jika dia berjaya mendapatkannya, maka dia telah ‘mengalahkan’ penjual, dan jika tidak berjaya, penjual pula telah ‘mengalahkan’ pembeli”.
Maka dengan definisi yang mudah difahami, gharar bermaksud suatu unsur ketidakpastian atau ketidakjelasan yang wujud dalam apa-apa transaksi ekonomi bermula daripada sebelum akad sehinggalah sesudah akad.
Islam agama yang sangat menitikberatkan soal keadilan dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, di dalam Islam terdapatnya hukum-hakam berkaitan Muamalat. Hal ini bagi menjamin aktiviti sosial dan muamalat sesama manusia dapat berjalan dengan baik dan adil. Di dalam Muamalat Islam, setiap transaksi ekonomi tidak kiralah samada transaksi jual beli, sewaan, gadaian dan sebagainya mestilah terikat dengan syarat dan panduan yang telah digariskan oleh syarak. (Ista et al., 2024; Muthia Azzahra et al., 2024)
Allah swt berfirman di dalam Surah al-Nisa’ ayat 29,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيما
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
Maka dapat kita fahami daripada dalil al-Quran yang dinyatakan di atas memberikan penjelasan bahawa ditegah daripada kita mengambil harta orang lain dengan cara yang batil iaitu cara yang salah dan tidak adil. Hak setiap orang mestilah dijaga dengan baik dan terpenuhi akannya. Adapun jika ia diambil melalui aktiviti perniagaan mestilah kedua belah pihak sama-sama meredhai dengan akad yang dimeterai. Dengan itu unsur gharar dapat dihapuskan dengan adanya kejelasan maklumat tentang transaksi yang dilakukan serta membawa kepada keredhaan bersama dalam menjalankannya.
Akan tetapi bukan semua gharar itu membatalkan akad. Terdapat dua jenis gharar iaitu gharar yang besar dan gharar yang kecil. Gharar yang besar adalah gharar yang menyebabkan akad menjadi tidak sah. Ibn Rushd al‑Jadd menjelaskan bahawa “Tidak sah jual beli kecuali jika ia bebas daripada gharar yang besar, kerana gharar kecil yang tidak mungkin dipisahkan daripada urusan jual beli dianggap ringan dan dimaafkan”. Perbezaan di antara para ulama dalam membatalkan sebahagian jenis akad berlaku kerana perbezaan pandangan mereka tentang kadar gharar yang ada padanya. Adakah ia termasuk dalam kategori gharar besar yang termasuk di bawah larangan Nabi saw terhadap ‘jual beli gharar’ yang membatalkan akad, atau adakah ia termasuk gharar kecil yang dianggap ringan dan dimaafkan dalam jual beli sehingga tidak membatalkan akad. Gharar besar yang membatalkan akad berlaku dalam tiga perkara iaitu pada akad itu sendiri, pada salah satu daripada dua imbalan (‘iwadh) iaitu harga atau barang jualan, atau pada kedua‑duanya sekali dan akhir sekali pada tempoh pembayaran dalam kedua‑duanya atau salah satunya (Ibn Rushd, 1988).
Manakala gharar yang ringan adalah gharar yang tidak dapat dielakkan dalam kebanyakan transaksi dan ia dimaafkan. Ibn Rushd menyebutkan bahawa gharar ringan adalah “Ketidakpastian kecil yang tidak membatalkan akad kerana tidak membawa mudarat yang besar”. Sebagai contoh dalam soal sewaan sesuatu barang mengikut bulanan. Sedangkan setiap bulan bilangan harinya tidak sama, ada yang mempunyai 29 hari, ada yang 30 hari bahkan ada yang 31 hari. Akan tetapi gharar ini dianggap kecil kerana hanya berbeza sehari dua sahaja serta ianya tidak dapat dielakkan. Maka gharar seperti ini dimaafkan dan dibenarkan oleh syarak.
Wallahu a‘lam
Rujukan
1. ʿAbd al-Qādir Shaybah al-Ḥamad. (1982). Fiqh al-Islām (Sharḥ Bulūgh al-Marām min Jamʿ Adillat al-Aḥkām) (Vol. 10). Al-Mamlakah al-ʿArabiyyah al-Suʿūdiyyah.
2. Ibn Rushd. (1988). Al-Muqaddimāt al-Mumahhadāt. Dār al-Gharb al-Islāmī.
3. Ista, A., Ahmadul Marunta, R., Muh Taqiyuddin, A., & Amalia Ista, N. (2024). Riba, Gharar, Dan Maysir dalam Sistem Ekonomi. Jurnal Tana Mana, (3), 315–330. https://ojs.staialfurqan.ac.id/jtm/
4. Majmaʿ al-Lughah al-ʿArabiyyah bi-al-Qāhirah. (1972). Al-Muʿjam al-Wasīṭ. Dār al-Fikr.
5. Al-Majlis al-Aʿlā li-al-Shuʾūn al-Islāmiyyah, Misr (n.d.). Mawsūʿah al-Mafāhīm al-Islāmiyyah al-ʿĀmmah.
6. Muthia Azzahra, Lara Dwi Alma, Intan Nuraini Azzahra, & Wismanto Wismanto. (2024). Gharar Konsep Memahami dalam Fiqih: Definisi dan Implikasinya dalam Transaksi. Hikmah : Jurnal Studi Pendidikan Agama Islam, 1(4), 145–153. https://doi.org/10.61132/hikmah.v1i4.265
