Islam Meraikan Kreativiti Dalam Pembikinan Filem Drama

Share on social media

Lumrah dalam hidup manusia menginginkan sesuatu yang boleh menghiburkan jiwa. Hiburan ini termasuklah berkaitan nyanyian, sketsa, drama, filem dan sebagainya. Kontroversi yang tercetus susulan penayangan sebuah drama tempatan baru-baru ini yang mengetengahkan adegan budaya songsang telah menghidupkan kembali perbahasan tentang batas kebebasan berkarya. Persoalannya bukan semata-mata sama ada sesuatu karya boleh ditonton atau tidak, tetapi lebih mendasar: adakah pematuhan terhadap nilai Islam akan menyempitkan ruang kreativiti pengkarya?

Persoalan ini wajar dijawab dengan tenang dan adil. Kreativiti dan syariah tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang saling bertentangan. Islam tidak menolak seni, hiburan atau kreativiti manusia. Sebaliknya, Islam memberikan ruang untuk manusia berkarya, pada masa yang sama meletakkan panduan supaya kebebasan tersebut tidak terpisah daripada akidah, akhlak, tanggungjawab dan kemaslahatan masyarakat.

Selari dengan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), walaupun ianya bersifat umum berkaitan hiburan, ini menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf hiburan sebagai sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia, di samping menetapkan panduan agar hiburan tidak bercanggah dengan tuntutan agama.

Bahkan pada zaman Rasulullah SAW sendiri telah ada dan diterima baik oleh baginda sendiri konsep hiburan pada zamannya. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Saidatina Aisyah RA yang bermaksud:

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk (datang ke rumahku), sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah Nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya Aidilfitri. Rasulullah bersabda, “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka adakah ini menunjukkan hiburan dengan nyanyian wanita itu dibenarkan secara mutlak? Tentu tidak, inilah menunjukkan bahawa Islam mampu bertoleransi dengan fitrah manusia tetapi masih memerlukan kepada batasannya. Sepertimana Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran:

يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍۢ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِٱلْقَوْلِ فَيَطْمَعَ ٱلَّذِى فِى قَلْبِهِۦ مَرَضٌۭ وَقُلْنَ قَوْلًۭا مَّعْرُوفًۭا

Maksudnya: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Surah al-Ahzab 33:32)

Dalam isu ini, Imam al-Ghazzali di dalam kitabnya al-Ihya’ turut menyatakan bahawa: “Kami juga berpendapat dengan isu nyanyian kaum wanita, jika dilakukan dengan adab yang betul dan tidak terlalu melunakkan suara dan melembutkannya sehingga mendatangkan syahwat, adalah harus.”

Inilah indahnya Islam, tidak menyekat hiburan mahupun kreativiti di dalam pembikinan karya seni. Akan tetapi ia mestilah tidak terkeluar daripada batasan-batasan syarak yang telah ditetapkan. Islam menyanjung tinggi hak kebebasan individu, tetapi tidaklah bersifat secara mutlak sehinggan mendatangkan kemudaratan kepada individu bahkan masyarakat.

Dari sudut sosiobudaya di Malaysia pula, kerajaan amat mengangkat usaha dalam memartabatkan sosiobudaya yang terdapat di dalam masyarakat tempatan di Malaysia. Akan tetapi, ia mestilah sesuai dan bersifat sopan serta penuh kerukunan.

Sepertimana Garis Panduan Penapisan Filem yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menggariskan bahawa filem yang mengandungi tema, jalan cerita, adegan atau dialog yang menyentuh hal-hal sosiobudaya adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, perkara di bawah ini perlu diberi perhatian dan diteliti secara mendalam, supaya tidak menimbulkan kontroversi dan keraguan dalam kalangan masyarakat. Antaranya ialah: cara hidup liar, tidak berpedoman, songsang dan bertentangan dengan agama dan budaya yang boleh merosakkan nilai-nilai murni masyarakat; mengandungi aksi meraba-raba tubuh badan secara mengghairahkan; semua adegan berpeluk-pelukan antara lelaki dan wanita dan kaum sejenis secara mengghairahkan dan sebagainya.

Malaysia mempunyai identitinya tersendiri yang mengangkat nilai-nilai murni, kerukunan dan kesopanan dalam masyarakat. Budaya-budaya luar seperti budaya songsang yang menggugat sosiobudaya tempatan tidak wajar diketengahkan dalam masyarakat tempatan. Ini merupakan prinsip dalam bermasyarakat di mana modal yang sering dimainkan iaitu hak kebebasan bukanlah bersifat mutlak sehingga melanggar ketertiban, kesopanan dan ketenteraman awam.

Pada akhirnya, Islam tidak pernah meletakkan kreativiti dan syariah sebagai dua jalan yang berlawanan. Sebaliknya, syariah memberikan arah agar kreativiti berkembang tanpa mengorbankan akidah, akhlak, maruah manusia dan keharmonian masyarakat. Dalam pembikinan filem drama, pengkarya tetap mempunyai ruang yang luas untuk bereksperimen dan menghasilkan karya yang segar, kritis serta bermutu, namun kebebasan tersebut perlu disertai kesedaran bahawa setiap karya membawa pengaruh dan tanggungjawab kepada penonton.

Kreativiti yang sebenar bukanlah keberanian untuk melanggar batas, tetapi kebijaksanaan untuk menghasilkan karya yang luar biasa tanpa perlu melanggar batas tersebut. Justeru, sudah tiba masanya perbahasan tentang filem drama dan syariah dialihkan daripada persoalan “apa yang tidak boleh dilakukan” kepada persoalan “sejauh mana kita mampu berkarya dengan kreatif dalam lingkungan nilai Islam”. Inilah wajah seni yang diraikan Islam iaitu bebas berkarya, teguh berprinsip dan bertanggungjawab terhadap masyarakat kerana setiap karya yang diberikan sebagai sajian kepada masyarakat itu merupakan sebuah amanah yang sangat besar dalam mencorak kehidupan mereka. Ini kerana filem drama bukan sekadar hiburan, bahkan ia membentuk persepsi, emosi, pemikiran dan boleh mempengaruhi cara penonton memahami sesuatu perkara.

Anda mempunyai sebarang persoalan, pandangan mahupun komentar untuk dikongsi bersama?

Kami mengalu-alukan setiap pandangan, pengalaman dan persoalan daripada anda. Luangkan sedikit masa untuk berkongsi pendapat di ruangan komentar di bawah. Setiap komentar anda amat bermakna dan berpotensi membuka perspektif baharu kepada pembaca yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hide Preloader