Kata Imam Ibnu Taymiyah Rahimahullah “Hidayah tidak dapat dicapai kecuali dengan jalan ilmu, dan jalan yang lurus tidak dapat dicapai kecuali dengan kesabaran”. Ilmu yang bermanfaat perlu untuk disebarkan kepada masyarakat. Akan tetapi tidak semua ilmu itu, perlu dan sesuai untuk diterima oleh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan latar belakang. Sesuatu ilmu itu juga perlu diteliti statusnya adakah benar dan baik untuk masyarakat.
Antara salah satu cabang atau kaedah untuk mendapatkan sesuatu ilmu itu adalah melalui pembacaan. Manakala penulisan pula merupakan salah satu cabang atau kaedah untuk ilmu tersebut dapat disebarkan. Maka dengan itu, membaca dan menulislah berlandaskan disiplin ilmu agar ianya dapat diperluaskan dan mampu membina masyarakat yang berilmu.
Bidang penulisan ini amat penting kepada masyarakat kerana kita dapat meluaskan lagi skop perbincangan sesuatu ilmu atau idea tersebut dan diketengahkan kepada masyarakat. Maka akan wujudlah satu proses pengembangan ilmu dan melahirkan masyarakat yang luas pemikirannya dan terbuka dalam menerima perbezaan pandangan. Sekiranya sesuatu idea atau pandangan tersebut tidak dapat untuk kita terima, maka berlapang dada dan menilai kembali hujah atau faktanya dengan skop pemikiran yang lebih luas berlandaskan disiplin ilmu.
Maka setiap penulisan yang ada di dalam blog ini hanyalah berdasarkan atas kefahaman atau pendapat peribadi semata. Amatlah dialukan sekiranya terdapat sebarang idea, kritikan mahupun penambahbaikan ke atas penulisan-penulisan yang terdapat di dalam blog ini.
Saya bukanlah seorang pemilik terhadap sesuatu ilmu melainkan hanyalah menukilkan kembali kata-kata dan idea-idea dari seseorang yang diangkatnya sebagai guru dalam sesuatu bidang yang tepat pada perbahasannya berdasarkan kefahaman terhadap ilmu tersebut.